Thursday, June 19, 2008

Superman

Bahagian : Pertama

Oleh : Abu Ammar

Setiap warga tua dan kanak-kanak pada masa ini amat kenal dengan watak Superman.
Siapa tidak kenal dengan watak animasi yang telah diperkenalkan oleh seorang ahli kartun Amerika Syarikat pada tahun tiga puluhan dahulu? Seorang lelaki yang bertubuh sasa, berpakaian biru yang mempunyai kekuatan yang luar biasa; boleh melompat dan terbang dari suatu tempat ke suatu tempat; lebih laju dari sebutir peluru dan dapat menahan sebuah kereta api yang sedang bergerak disamping dapat membantu manusia-manusia yang ditimpa kesusahan.

Apakah watak ini sebenarnya wujud? Apakah yang ada di dalam fikiran kartunis yang mereka watak ini? Sama ada watak-watak ini benar-benar wujud atau tidak adalah perkara yang tidak penting. Kalau dikajikan, ada makna disebalik kewujudan watak-watak ini didalam pengetahuan kita. Kalau kita membaca komik-komik atau menonton filem-filem berhubung dengan watak-watak ini, kita akan dapati suatu mesej yang masyhur; kebaikan akan dapat mengatasi kejahatan. Tetapi apakah yang terselit disebalik hero-hero yang bertubuh sasa dan dapat menunjukkan kekuatan-kekuatan yang luar biasa ini? Sesunguhnya kejahatan-kejahatan yang besar yang tidak mampu diubah oleh kekuatan manusia yang sedia ada memerlukan bantuan daripada unsur-unsur kekuatan yang luar biasa. Hanya kekuatan yang kuat sahaja mampu mengubah keburukkan yang besar.

Kita umat Islam harus sedar bahawa apabila Allah s.w.t. menciptakan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini, urusan kekhalifahan itu bukanlah mudah sepertimana yang disangka. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa mukmin yang kuat itu lebih disayangi oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. pernah memberi peringatan bahawa tentera kafir yang tersusun itu lebih baik dari tentera Islam yang tidak tersusun. Ini membawa maksud bahawa watak Superman itu wajib ada di dalam hati tiap-tiap umat Islam, tidak kira diwaktu peperangan, waktu berpolitik, berdakwah atau di dalam kehidupan sehari-hari. Umat Islam tidak perlu lari lebih laju daripada peluru dan tidak perlu juga menahan kereta api daripada bergerak. Kekuatan yang ditunjukkan oleh watak Superman itu harus menjadi simbol atau lambang kepada bagaimana keutuhan kekuatan itu harus dipupuk.

Contoh Superman didalam realiti kehidupan manusia yang paling masyhur itu ialah Rasulullah s.a.w. dan kekuatan baginda sehingga Islam itu dapat disebarkan sejauh dan seluas mana dunia ini.

Manusia-manusia yang berada di dalam arena politik kepartian atau kehidupan tetapi berkiblatkan kebendaan jarang didedahkan kepada cara Rasulullah s.a.w. berpolitik untuk mereka hayati. Manusia-manusia sekarang terlalu ghairah dengan runtunan hawa nafsu sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka menang sama ada di dalam pilihanraya atau berjaya menduduki kerusi-kerusi penting di dalam parti-parti mereka. Tidak kurang juga penipuan dan pembelitan yang akan memenangkan mereka di dalam rebutan harta benda atau kedudukan di dalam jawatan-jawatan korporat. Akhir sekali, mereka akan menjadi mangsa kepada senjata-senjata yang mereka ciptakan sendiri; mereka akan jatuh tersungkur sehingga tidak ada lagi kebangkitan setelah kejatuhan itu. Apakah ini sebabnya Allah mencipta manusia untuk menjadi manusia di atas muka bumi? Apakah ini sebabnya Allah mengutuskan para Nabi dan Rasul kepada umat manusia? Apakah ini isi kitab-kitab yang diturunkan untuk memberi bimbingan kepada manusia? Apakah ini maksudnya slogan “You don’t have to cheat in order to win.” (Tidak perlu menipu untuk mencapai kemenangan )?
( Bersambung )

No comments: