Friday, April 18, 2008

ISTIDRAJ

Anak Kunci Neraka Bagi Golongan Yang Masyhur (Bahagian : Pertama)

Oleh : Abu Ammar

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Ar-Ra’d Ayat : 11 yang bermaksud:-
“Allah tidak merobah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka merobah apa-apa yang ada pada diri mereka.”
Ayat tadi memberi tafsiran bahawa apa yang dikurniakan dan diadakan oleh Allah yang berupa nikmat-nikmat kehidupan yang bagus adalah untuk hamba-hamba-Nya. Harta yang banyak, anak isteri yang baik, tanam-tanaman yang subur, binatang ternak yang mendatangkan keuntungan dan sebagainya. Akan tetapi, disamping itu semua, Allah juga menzahirkan kepada umat manusia para nabi dan rasul ‘alihimusolatuwassalam yang memberi petunjuk yang benar. Manusia sesungguhnya telah menzalimi diri mereka sendiri dengan berbangga dan mendewa-dewakan kekayaan dan kebaikkan yang mereka miliki dan akhir sekali jadilah kemakmuran mereka bertukar menjadi kepapaan dan kehinaan.
Salah satu contoh yang boleh dibuat teladan ialah kisah Nabi Hud a.s. Kaum 'Ad terdiri dari mereka-mereka yang memiliki kekayaan yang banyak tetapi akibat keengkaran mereka terhadap ajaran Nabi Hud a.s., negeri mereka yang makmor itu bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Kaum ‘Ad yang gagah itu menjadi suatu bangsa yang musnah.
Allah menceritakan tentang cabaran dan kebiadapan mereka terhadap Nabi Hud a.s. di dalam Al-Quran Surah Al-Sussilat Ayat : 15 yang bermaksud:-
“Dan mereka berkata : Siapakah yang lebih besar kekuatannya (dari segi harta benda, ketenteraan, kemajuan ekonomi dan pembangunan ) dari kami.”

Banyak orang yang jahil tentang nikmat-nikmat Allah ini. Ada yang menjadi kaya raya sehingga mereka merasakan mereka lebih kaya dari Tuhan. Mereka enggan menuruti ajaran para nabi dan rasul. Ada yang merasakan kekayaan mereka ialah nikmat Tuhan kepada mereka yang telah memuliakan mereka jika dibanding dengan nabi-nabi yang kehidupan mereka serba sederhana. Mereka merasakan nabi-nabi yang tidak kaya seperti mereka tidak layak mengajar mereka. Sikap-sikap mereka ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah As-Syuara ayat : 111 yang bermaksud:-
“Mereka berkata : Apakah kami akan beriman kepadamu ( Nabi ), padahal yang mengikuti kamu ialah orang-orang yang hina.”

Gejala ini berlarutan sehingga sekarang. Tokoh-tokoh korporat dan tokoh-tokoh politik membantu untuk menentang dan menghancurkan Islam. Mereka rasa ajaran-ajaran ugama seperti ‘elemen’ yang mengganggu kehidupan mereka. Mereka merasakan amalan-amalan mereka seperti tidak menutup aurat, meminum arak dan membelanjakan wang yang banyak bermain judi dan sebagainya sebagai tanda-tanda kemodenan. Kebaratan menjadi ‘ugama’ mereka sementara Islam dianggap kolot yang hanya sesuai untuk lebai-lebai kampong sahaja.

Para pembaca yang budiman; inilah perbincangan kita dibawah tajuk “Istidraj”.
Apakah itu “istidraj”? Didalam bahasa yang mudah difahami, istidraj itu bermaksud nikmat-nikmat yang baik yang didapati pada seseorang seperti kemasyhuran, kekayaan dan sebagainya dan dia tidak bersyukur. Sebaliknya, dia menggunakan nikmat-nikmat itu untuk berlagak sombong dan menjadi orang yang panjang harapan.
Menurut Imam Habib Abdullah Al-Haddad di dalam kitabnya “Nasihat Ugama Dan Wasiat Iman”, makna ‘panjang harapan’ ialah merasa diri akan kekal tanpa perlu memikirkan soal mati yang akan memisahkan dia dengan nikmat-nikmatnya itu. Perasaan itu menguasai hati dan mereka akan bergiat bekerja untuk memiliki dunia ini menurut hawa nafsu mereka. Ia menghabiskan masa siang dan malamnya dalam memikirkan cara-cara mengatur kemajuannya. Segala amalan untuk akhirat dilupakan dan tidak dikerjakan.
Pernah kita dengar golongan-golongan yang kaya raya di Malaysia ini yang tidak akan berada di dalam negara ketika bulan Ramadan. Atas alasan urusan perniagaan, mereka akan ke luar negara dan hanya akan kembali di penghujung bulan yang mulia itu. Apabila di luar negara, bebaslah mereka untuk berfoya-foya, makan dan minum apa sahaja. Yang anehnya, harta mereka makin bertambah. Justeru, mereka tidak rasa takut dengan hukuman Allah. Itulah ‘istidraj’. Benarkah mereka tidak akan di azab? Tidakkah mereka akan menemui kerugian? Insya Allah kita akan berjumpa contoh-contoh kepada apa yang pernah berlaku.

( Bersambung )