Monday, July 14, 2008

KHUTBAH JUMAAT

DIANTARA HUKUM DAN MELEPASKAN BATUK DI TANGGA
( BAHAGIAN 2 )

OLEH: IBNU IBRAHIM

Kalau dilihat dari sudut kesannya, adakah khutbah Jumaat hari ini berkesan atau tidak?
Pada hari ini, pengetahuan dan sikap kita sabelum dan sesudah mendengar sesuatu khutbah Jumaat adalah sama. Sama jugalah khutbah Hari Raya Puasa, Hari Raya Qurban atau khutbah yang dibaca salepas solat gerhana bulan. Kalau kita malas sabelumnya, salepasnya pun kita malas juga. Kalau kita jahil sabelumnya, salepasnya pun kita jahil juga. Begitulah keadaannya jika kita ada lain-lain sifat yang mazmumah. Ringkasnya tidak ada perubahan kapada kita sabelum atau salepas kita mendengar sesuatu khutbah. Kalau ada perubahan pun tidaklah banyak tetapi hanya bersifat sementara.
Keberkesanan sesuatu khutbah itu hanya akan wujud sekiranya penyampai itu ikhlas untuk membentuk keperibadian Islam dikalangan jamaah mengikut acuan acuan Al-Quran. Khatib itu mestilah seorang yang kuat imannya dan tidak takut kapada perasaan orang ramai disamping berkebolehan berpidato dengan baik kaperingkat memukau pihak yang mendengar. Sejarah boleh mengajar kita dalam hal ini.
Semasa Sepanyol berada didalam kekuasaan Islam dengan nama Andalus, Khalifah Abdul Rahman Al-Nasir merancang pembinaan kota “Zahra”. Dia hendak membina kota ini dengan seindah-indah binaan, yang mana terpaksa menelan belanja yang begitu banyak. Kota istananya tinggi mencakar awan. Di dinding di bahagian dalam dihiasi ukiran-ukiran tulisan dengan air emas dan perak. Apabila perkara ini sampai kapengetahuan Kadi Munzir Bin Said tentang pembaziran pemerintah, beliau ( Kadi ) menjadi marah kerana pemerintah menggunakan wang rakyat yang tidak kena pada tempatnya. Dia dengan berani telah menyentuh perkara ini dalam khutbah Jumaatnya dan mencela Abdul Rahman di tengah-tengah jamaah. Didalam khutbahnya dia berkata-:
“Tidak saya sangka syaitan telah menggoda kamu sampai begitu sekali wahai khalifah. Hinggakan kamu lagi tidak berpotensi untuk memimpin walaupun kamu ada kelebihan jika hendak dibandingkan dengan manusia semua. Kesudahannya taraf kamu semua sama sahaja dengan orang-orang kafir.”
Berkerut dahi Abdul Rahman bila mendengar khutbah tersebut. Dengan perasaan marah, dia memotong ucapan khutbah Kadi Munzir. Dia mula menyampuk:
“Apakah buktinya yang Allah samakan kedudukan aku saperti orang kafir?”
Jawab Kadi Munzir:
“Ya…! Buktinya saperti firman Allah:
“Dan sekiranya bukan hendak menghindari manusia menjadi umat yang satu, ( dalam kekafiran ), tentulah kami buatkan bagi orang-orang yang kafir kepada Tuhan yang Maha Pemurah loteng-loteng perak bagi rumah mereka dan ( juga ) tangga-tangga ( perak ) yang mereka menaikkinya.” ( Az-Zukhruf Ayat: 33 )”

Khalifah Abdul Rahman menundukkan kepalanya satelah mendengar ulasan Munzir. Dia membisu seribu bahasa. Dalam kekhusyukan beliau mengingati Allah, air matanya jatuh berderai membasahi janggutnya. Dia pergi mendekati Kadi Munzir seraya berkata:
“Segala ajaran agama yang telah kamu sampaikan kapada kami, semoga Allah juga yang memberi balasan kapada kamu. Mudah-mudahan Allah perbanyakkan lagi orang yang saperti kamu ini. Sesungguhnya apa yang kamu ucapkan tadi adalah benar.”
Satelah selesai kata-katanya tadi, sambil mengucap “Astaghfirullah”, dia terus bangun dan mengarahkan pekerja-pekerja yang membina kecubung istana yang mencakar awan dan dinding-dinding dari batu marmar supaya dibatalkan sahaja.

Hah! Bagaimana? Boleh atau tidak tok-tok khatib di Malaysia buat semacam itu? Penulis rasa boleh tapi mereka perlu kikis dahulu perasaan takut kena ‘gam’. Kerana takut kena gam, tok-tok khatib membacalah khutbah yang fungsinya macam ubat tidur. Khutbah-khutbah yang buat orang mengantuk, di bunyinya senada dengan air sungai yang mengalir. Dia peduli apa orang mengantuk? Asalkan dapat elaun sudah cukup!

Kita mungkin atau akan mengelamun dan fikiran kita semasa khatib membaca khutbah melayang entah ke-mana. Keadaan ini adalah suatu perkara biasa yang kita boleh lihat di mana-mana. Mengapakah keadaan ini berlaku dan mengapakah alat yang sangat besar ertinya dalam zaman keagungan Islam dulu itu menjadi tumpul dan tidak mencapai matlamatnya dizaman kita? Adakalanya terdapat Imam-imam mesjid membenarkan “kroni-kroninya” yang tidak fasih dalam sebutan Bahasa Arab membaca khutbah atas alasan melatih mereka. Imam juga tidak memanggil mereka dan menyuruh mereka membaca khutbah di hadapannya sabelum membaca kapada orang ramai kerana imam juga mengambil jalan mudah. Dengan ini, apabila bacaan tidak baik atau memuaskan, jamaah akan berasa jemu.
Khutbah sebagai suatu media penting telah tidak difahami olih penyampainya atau khatibnya. Lantas dengan itu, beliau baca sahaja khutbahnya. Penulis pernah melihat seorang khatib disebuah mesjid di Pulau Pinang membawa sebuah buku yang berjodol “Himpunan Khutbah-Khutbah Jumaat” semasa menaikki mimbar. Buku itu kelihatan buruk dan lusuh. Mungkin dibelinya sepuluh tahun yang dahulu. Tajuk yang diperkatakannya ialah tajuk sepuluh tahun yang dahulu dan tidak relevan lagi.Kalau ada persamaan pun antara perkara sepuluh tahun dahulu itu dengan keadaan sekarang, cara penghuraiannya sangat berbeza kerana persekitaran dan pengalaman antara dua masa itu tidak sama.
Khutbah telah dianggap semata-mata sebagai rukun solat Jumaat, yakni tanpanya maka solatpun tidak sah. Khutbah pun dibaca untuk melengkapkan rukun itu. Kadang sesuatu khutbah itu di-ulang-ulang beberapa kali kerana khatib itu sendiri tidak faham dengan matlamat sesebuah khutbah. Kadang-kadang terdapat di pejabat Imam di dalam mesjid teks-teks khutbah yang lama. Tok-tok khatib yang tidak peka ini akan mengambil sahaja “pakai cekup”.Pada tahun 1989, pada menumcaknya Intifadhah di Palestine, penulis telah menunaikan solat Jumaat di sebuah mesjid di Alor Setar. Khatib pada hari itu telah berkhutbah tentang peristiwa Israk Dan Mikraj dengan mengaitkan peristiwa Intifadhah tersebut. Khutbah itu begitu menarik sehingga salepas solat Jumaat, beberapa orang telah berjumpa dengan beliau meminta teks khutbah itu untuk dibaca dan dihayati. Itulah yang dinamakan khutbah.

( Bersambung)

No comments: