Diantara Hukum Dan Melepaskan Batuk Di Tangga (Bahagian Pertama)
Oleh: Ibnu Ibrahim
Didalam sejarah awal Islam, khutbah Jumaat disampaikan sendiri oleh ketua negara. Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara Islam pertama menggunakan media khutbah ini untuk mejelaskan ajaran Islam, memberi nasihat serta menjelaskan hal-hal pentadbiran dan ketenteraan. Peranan khutbah juga sama dalam Khulafa’ Ur Rashidin. Khutbah-khutbah Jumaat disampaikan sendiri olih para khalifah dan khutbah-khutbah itu tetap penting dalam hal ehwal pentadbiran masyarakat Islam.
Rsulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah sesudah baginda merupakan orang-orang yang benar-benar sibuk mengurus dan membangunkan masyarakat Islam. Menggubah pemikiran manusia ketika itu dari fahaman jahiliyah kapada cara hidup yang disuruh olih Islam bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain dari itu, ancaman orang-orang kafir terhadap Islam juga perlu diambil kira. Selain dari majlis-majlis ilmu, khutbah juga memainkan peranan yang penting sebagai ‘platform’ sebaran am segala arahan-arahan untuk dipatuhi, dihayati dan diikuti pada masa-masa yang sungguh mencabar itu. Ini menunjukkan bahawa peranan khutbah merupakan satu institusi yang amat besar ertinya dalam perkembangan masyarakat Islam sama ada dari sudut pembangunan fizikal, ruhani atau ‘aqliah (mental). Khutbah Jumaat menyediakan lorongan bagi pemimpin untuk bersemuka dengan rakyat dan dapat menyalurkan maklumat atau apa-apa keterangan secara langsung kapada mereka. Secara tidak langsung, khutbah Jumaat dapat merapatkan hubungan pimpinan dengan rakyatnya. Apakah kepentingan khutbah yang memberi banyak manfaat dizaman kegemilangan Islam dahulu masih wujud dizaman ini dan adakah institusi ini berkesan saperti dahulu? Ini adalah satu persoalan yang harus menerima pertimbangan sewajarnya daripada kita umat Islam sekarang, khususnya para pemimpin masyarakat Islam dan pemimipin-pemimpin negara yang beragama Islam amnya.
Penulis ingin menyingkap suatu sejarah tentang bagaimana khutbah Jumaat memberi perangsang kapada tentera-tentera dan masyarakat Islam sehingga tentera-tentera Salib dapat ditumpaskan.
Pihak Salib telah berjaya menawan Baitul Muqaddis, kiblat pertama umat Islam dan tempat mikraj Nabi s.a.w. Keadaan ini berlaku sebab umat Islam pada masa itu berada didalam keadaan tidak stabil dan kacau-bilau, malah banyak berlaku pulau memulau sesama sendiri dan keruntuhan akhlak yang dahsyat.Peperangan meletus sesama mereka dan munculnya permusuhan dalaman. Pengkaji-pengkaji sejarah telah membuat banyak laporan tentang keadaan yang tidak stabil yang melanda negara-negara Islam sehingga mereka mudah jatuh ke tangan penjajah Salib. Allh s.w.t. tidak menzalimi mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Bibit-bibit kebangkitan Islam mulai kelihatan melalui kebangkitan keluarga Imaduddin Zanki yang berjaya membina sebuah kerajaan yang kuat. Kerajaan ini telah memberi pukulan yang kuat kapada kerajaan Salib Kristian satu demi satu. Kebangkitan Imaduddin Zanki telah memberi kesan kapada tercetusnya Perang Salib yang kedua dan telah berakhir dengan kekalahan yang memalukan bagi pihak mereka dan melalui mimbar-mimbar khutbah, api perjuangan Islam mula disemarakkan sehingga membaranya semangat dan moral kaum Muslimin dan menyediakan pintu kemenangan besar kemudiannya.
Tentera Salib masih tinggal saki bakinya yang agak besar, dipimpin olih seorang Raja Perancis yang memusuhi Islam. Beliau telah dilaporkan menyerang pedagang-pedagang Islam yang berulang alik diantara Mesir dan Syam. Disinilah munculnya peranan Sultan Salahudin Al-Ayubi. Menyedari bahawa media mimbar khutbah Jumaat akan menjadi sebaik-baik perangsang kapada kaum Muslimin, beliau telah menggunakannya untuk berikrar bahawa beliau akan membunuh Raja Perancis dan memberikan pukulan maut kapada tentera Salib. Dengan tidak melengahkan masa, Salahuddin keluar untuk berperang pada hari itu juga, yakni Hari Jumaat 17hb Rabiul Akhir 583H salepas solat Jumaat dengan diiringi olih doa, munajat dan laungan takbir umat Islam. Nah, lihatlah sendiri bagaimana berkesannya peranan khutbah sehingga Salahuddin dan bala tenteranya memenangi peperangan itu. Azamnya juga telah tertunai apabila tengkuk Raja Perancis dipancongnya sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah Salahuddin berjaya mencapai kemenangan yang gilang gemilang dan mendapat bantuan dari Allah s.w.t. dalam mengalahkan musuhnya. Benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud:-
“ Dan sesungguhnya Allah s.w.t. pasti menolong orang-orang yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Gagah lagi Maha Perkasa”.
Orang-orang yang tidak faham peranan khutbah ini akan mempertikaikan kesannya khutbah sehingga peperangan besar dapat dimenangi. Mereka akan mengatakan bahawa tidak perlu khutbah itu disampaikan secara berapi-api pada zaman sekarang kerana terdapatnya kemudahan media massa yang boleh menerangkan dasar-dasar kerajaan.
Memang benar pada hari ini terdapat media massa yang dapat menyalorkan apa jua maklumat secara lebih meluas pada bila-bila masa saperti akhbar, radio atau television. Namun demikian, satu ciri yang penting dalam penyampaian khutbah Jumaat ialah persemukaan antara rakyat dan pemimpin mereka. Salepas solat Jumaat, pemimpin dan rakyat dapat bersalaman dan ini akan mewujudkan kemesraan dan rasa hormat antara satu sama lain. Lagi pula, kerajaan yang memerintah hari ini tidak peka dengan perjuangan dan pembangunan Islam secara hakiki. Mimbar-mimbar Jumaat tidak digunakan untuk pembangunan umat Islam seratus-peratus. Tidak saperti di negeri Kelantan. Menteri Besarnya dan juga semua wakil rakyat mempunyai latar belakang pendidikan ugama dan mereka mampu berkhutbah di mesjid-mesjid dengan membawa mesej perjuangan dan pembangunan umat Islam secara jelas dan tidak saperti negeri-negeri lain yang khutbah-khutbah Jumaat mereka hanya untuk menyempurnakan rukun solat Jumaat dan akhir sekali terdapat ramai jama’ah yang tertidur dan ada yang sampai berdengkur! Pemimpin di Kelantan menggunakan kesempatan hari Jumaat untuk bertemu semua rakyat di kawasan-kawasan mereka sekaligus menjalinkan hubungan kemesraan diantara satu dengan yang lain.
(Bersambung )
No comments:
Post a Comment