Saturday, August 16, 2008

Superman

Bahagian : Kedua

Oleh : Abu Ammar


Politik dan Islam tidak dapat dipisahkan, justeru itu ia adalah sebahagian dari kehidupan manusia. Namun bagaimana? Ini yang menjadi persoalan.

Ahli-ahli politik mustakbirin menganggu perjalan dakwah yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam. Mereka mengatakan politik itu tidak ada di dalam Islam. Para ulamak zaman sekarang telah berjaya menangkis dakwaan ini dengan penulisan dan ceramah mereka. Di negara kita, seorang alim yang menjadi pemimpin gerakan Islam pernah menyampaikan sebuah ceramah pada tahun 1982 dan sepotong isi ceramahnya telah dijadikan suatu ‘amanat’. Katanya lebih kurang: “Barangsiapa yang mengatakan Islam suku dan politik suku, maka ia telah menjadi kafir.” Inilah agenda parti perjuangan Islam di semua tempat sehingga negara yang didiami wajib dibebaskan dari cengkaman pemerintahan yang tidak berlandaskan Islam. Tetapi, parti yang diterajui oleh orang alim itu pun tidak pernah memenangi pilihanraya sehingga dapat menegakkan sebuah negara yang termaktub di dalam perlembagaan partinya. Mengapa? Adakah orang alim itu yang berkelulusan B.A. dari Universiti Madinah dan M.A. dari Universiti Azhar, yang mempunyai pengalaman tidak kurang dari tiga puluh tahun sebagai ahli politik dan wakil rakyat tidak tahu bagaimana hendak menjalankan tugasnya sebagai seorang pemimpin kepada parti dan kerajaan? Semua rakyat Malaysia tahu bagaimanakah panas berapinya ceramah-ceramah yang disampaikannya sehingga memukau kawan dan lawan dan beliau juga pernah diiktirafkan sebagai salah seorang pemidato terbaik seluruh Asia. Pada pilihanraya tahun1999, beliau berjaya menawan negerinya dan memimpin kerajaan negeri itu sebagai seorang Menteri Besar. Tiba-tiba, parti beliau kehilangan tampok pemerintahan negeri tersebut melaui suatu kekalahan yang memeranjatkan semasa pilihanraya tahun 2004. Adakah dia yang tersilap atau siapa yang tersilap?

Politik Islam untuk menegakkan sebuah negara Islam. Itulah slogan yang menjadi agenda perjuangan parti Islam disemua negara. Walau bagaimanapun, sebahagian dari pejuang Islam sendiri juga kabur dengan makna dan kehendak politik sebenarnya. Mereka terikut-ikut dengan cara politik Barat dan mengharapkan Islam dapat ditegakkan dengan cara itu. Malah mereka marah jika ada pejuang Islam lain yang tidak mahu berjuang dengan cara mereka berjuang. Mengapa ini boleh berlaku? Penyakit apakah yang melanda?

Para pemerhati politik Islam berpendapat bahawa umat Islam terutama sekali yang berjuang di dalam gerakan-gerakan Islamtidak pernah terdedah kepada suatu bentuk politik yang bersih, kuat dan strategik. Mereka tidak mahu menghayati kuliah-kuliah ta’alim kepimpinan dan menganggapkan program-program itu tidak penting. Kadang-kadang sengaja mereka adakan program-program yang bertindih dengan program-program dakwah tadi supaya mereka boleh mengadakan alasan bahawa mereka sibuk dan tidak ada masa untuk mengaji! Masya Allah!!!

Orang seperti ini harus diperingati bahawa masanya sudah tiba untuk mempelajari apa itu politik Rasulullah dan bagaimana matlamat serta perlaksanaannya. Para ulamak di dalam gerakan Islam berkali-kali menonjolkan ketokohan Rasulullah s.a.w. dan cara baginda menaikkan Islam di tengah-tengah masyarakat Jahiliyah dan bagaimana baginda memproses peribadi-peribadi yang dahulunya menentang Islam ke arah cinta dan sanggup mati kerana Islam. Jika mutiara-mutiara hikmah ini tertanam di dalam sanubari tiap-tiap pejuang Islam, sama ada pemuda, pemudi atau kepimpinan yang bertaraf ulamak, maka semakin cerahlah jalan ke arah mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai seorang ahli politik dan pemimpin. Inilah sebaik-baik contoh Superman, bahkan lebih baik dari watak sama yang ditonjolkan di dalam komik dan filem.
( Bersambung )

No comments: